28.8 C
Terengganu

Aid4Palestin UUM : Komitmen Jaringan Akademik Malaysia

Intifadah di bumi Palestin adalah lambang kesatuan dan kebangkitan umat Islam seluruh dunia, melangkaui sempadan geografi dan perbezaan khilaf serta mazhab. Usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel-Zionis merupakan usaha berterusan sejak sekian lama. Malah semenjak meletusnya perang pada penghujung Ramadhan lepas akibat serangan ke atas Palestin dan pengusiran warga Palestin di Sheikh al-Jarrah, seluruh masyarakat dunia menyatakan solidariti terhadap Palestin. Tidak terkecuali, warga bukan Islam turut sama menyatakan sokongan di atas nama kemanusiaan.

Sewaktu perang masih berlangsung, rakyat Malaysia sudah mula meluahkan kekesalan di atas perkara ini. Bukan sekadar mengecam, menjadi sebahagian daripada sejarah memperjuangkan tanah suci ke-tiga umat Islam, malah turut sama menghulurkan bantuan tenaga dan harta untuk membina semula kediaman, pusat kesihatan dan pendidikan yang telah dihancurkan rejim Zionis.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengerusi Aid4Palestin

Mengatur langkah secara bijak dan berstrategik, Aid4Palestine telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 2 Syawal 1442H. Penubuhan yang berhasrat untuk menunjukkan komitmennya bagi menjadi sebahagian daripada pemain utama di dalam menyumbang ke arah pembinaan semula rakyat Palestin di samping usaha membebaskan Baitulmaqdis ini dianggotai oleh lebih 100 buah NGO daripada seluruh tanah air.

Malah Aid4 Palestine turut melakukan kerjasama strategik dengan institusi akademik serta badan-badan bukan kerajaan (NGO). Di samping itu, pertubuhan yang bernaung di bawah Duta Besar Khas Perdana Menteri ke Pejabat Timur Tengah ini turut mengadakan aktiviti di peringkat tempatan dan global bagi mencipta perubahan yang lebih besar dan signifikan.

Penubuhan Aid4 Palestine merupakan penanda aras baharu terhadap usaha bersama dan lebih sistematik oleh NGO-NGO di seluruh Malaysia. Pada 23 Mei 2021 pula, Aid4 Palestine UUM telah dilancarkan, menandakan satu bentuk kerjasama strategik berasaskan keilmuan dengan universiti tempatan telah berlangsung. Kerjasama dengan Universiti Utara Malaysia merupakan sebuah kejayaan di dalam membina rangkaian rakan strategik dan kolaborasi dengan komuniti universiti demi Palestin. Kerjasama ini berpusat di Institut Kecemerlangan Pengajian Islamicjerusalem, Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) dan Asian Institute for International Affairs and Diplomacy (AIIAD), UUM.

Bercakap di Webinar Antarabangsa Khas mengenai Palestin dan pelancaran Aid4Palestine UUM, Ust Muhammad Khalil Abdul Hadi selaku Pengerusi Aid4 Palestine Malaysia berkata, “Palestin akan sentiasa dekat di hati umat Islam. Masjid al-Aqsa di Islamicjerusalem atau Baitulmaqdis adalah salah satu tempat daripada tiga tempat paling suci bagi umat Islam selain daripada Masjidil Haram di Mekah dan Madinah. Baitulmaqdis merupakan tempat suci bagi dua agama monoteistik utama dunia iaitu Yahudi dan Kristian.”

Beliau turut menyatakan pandangan positif bahawa Baitulmaqdis ini boleh menjadi sebuah tempat yang maju dan harmoni walaupun di dalam kepelbagaian sosiokultural.

“Islamicjerusalem atau Baitulmaqdis merupakan sebuah tempat yang memiliki kepelbagaian budaya dan kami menghargai kepelbagaian bagi sama-sama menikmati kehidupan yang harmoni dan aman serta saling hormat-menghormati. Baginda Rasulullah s.a.w sudah menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam konteks kepimpinan terhadap masyarakat multikultural di Madinah, malah Islam telah berjaya menerapkan pendekatan insklusif serta mempromosikan gaya hidup bermasyarakat yang sejahtera dan harmoni.”

“Penubuhan Aid4 Palestine UUM ini tepat pada masanya bagi mencari jalan keluar daripada konflik dan pencerobohan masyarakat yang tidak bersalah terutamanya di Gaza dan Palestin. Kami berkongsi keperitan dan kesedihan mereka. Mudah-mudahan, dengan serangan terkini serta kekejaman yang dilakukan oleh pihak Israel Zionis, dunia lebih membuka mata dan sedar akan ketidakadilan serta penindasan yang telah berlaku semenjak bertahun-tahun.”

Beliau turut menyatakan kesyukuran di atas sikap prihatin masyarakat Malaysia di dalam membantu rakyat Palestin.

“Setelah hanya satu minggu kempen Aid4Palestine dengan kerja keras sekretariat dan sukarelawan daripada semua kumpulan dan tentunya dengan kemurahan hati rakyat Malaysia, kami berjaya mengumpulkan lebih daripada RM10 juta, dan lebih banyak lagi yang kami jangkakan, Insya Allah. YAB Ketua Menteri Kedah turut menawarkan Volvo kesayangannya untuk dibida bagi membantu rakyat Palestin. Beliau berjaya mengumpulkan RM150,000 daripada usaha tersebut. Malah ada individu lain iaitu Pakcik Azmi dari Sik, Kedah yang menjual kerbau cantiknya untuk mengumpulkan sebanyak RM6,500 demi Palestin! Ini merupakan pengorbanan yang luar biasa yang melambangkan indahnya hati rakyat Kedah dan Malaysia. Saya percaya bahawa komuniti UUM dapat melakukan hal yang sama malah lebih baik, dan akan sentiasa berusaha dengan lebih baik untuk menyumbang yang terbaik bagi membantu saudara-saudara Palestin yang kekurangan.”

“Bagi menghargai usaha, komitmen, kemurahan hati dan kebersamaan yang ditunjukkan rakyat Malaysia, Aid4Palestine secara rasmi telah mengumumkan bahawa 100 peratus sumbangan akan disampaikan terus melalui rakan kongsi rasmi dan sah di Gaza serta Baitulmaqdis. Tiada potongan dikenakan bagi menanggung kos yuran pengurusan, malah komisen juga tidak dikenakan. Seratus peratus untuk Palestin, insya Allah,” ujar beliau mengakhiri ucapan.

More articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest article