28.8 C
Terengganu

10 Program, Destinasi Menarik di Terengganu

1. Candat Sotong

Aktiviti mencandat sotong merupakan satu aktiviti manarik yang popular di Terengganu terutamanya di Marang. Kebiasaannya pelancong baik dari dalam dan luar negara akan ke sini setiap tahun terutamanya antara bulan April-Ogos bersama keluarga mahupun teman sepejabat untuk merasai pengalaman bercandat ( squid jigging). Bot bersama tekong boleh disewa untuk ke lokasi mencandat iaitu di sekitar Pulau Kapas & ada juga bot dari jeti di Kuala Terengganu/Kemaman/Setiu. Kalau dari jeti Marang ke lokasi mencandat memakan masa 30-40 minit dan bermula dari petang sehinggalah keesokan paginya. Ada yang serik pertama kali mencuba mencandat sotong kerana tak tahan dengan mabuk laut & ada yang terus jatuh hati dengan aktiviti sebegini. Jadi, anda yang mana satu?

2. Pasar Besar Kedai Payang

Semua produk negeri Terengganu boleh didapati di sini baik makanan seperti keropok keping, keropok sira, keropok lekor, ikan masin, serunding ataupun produk kraftangan seperti batik, songket, sutera, hasil tenunan, produk tembaga dan sebagainya. Lokasinya juga strategik berdekatan dengan beberapa tempat menarik di Terengganu yang lain seperti Kampung Cina, Bukit Puteri, Dataran Shahbandar, Pulau Warisan & Bazar Warisan. Kalau anda ingin melihat telatah bahasa Terengganu oleh peniaga-peniaga tempatan, bolehlah datang ke sini & kalau nak mudah dapat diskaun ketika tawar menawar, belajarlah sedikit loghat mudah orang Terengganu.

3. ‘TTI River Cruise’

Bagi mereka yang ingin menikmati keindahan panorama di Sungai Terengganu, anda boleh membawa keluarga untuk menaiki bot menyusuri sungai yang bermula dari jeti di Taman Tamadun Islam. Di sepanjang perjalanan anda boleh melihat pemandangan kampung nelayan, rumah atas air, tempat pembuatan bot dan juga melihat keindahan Masjid Kristal.

4. Pulau Redang

Merupakan destinasi percutian di pulau yang top di Terengganu bahkan di Malaysia kerana mempunyai pantai dan air laut yang membiru jernih. Pelancong ke sini boleh melakukan aktiviti snorkeling atau scuba diving untuk melihat keindahan terumbu-terumbu karang di sini. Di Pulau Redang juga terdapat resort dan hotel yang cantik dan sesuai sebagai destinasi berbulan madu. Perjalanan menaiki bot dari Jeti Shahbandar ke Pulau Redang mengambil masa 1 jam 30 minit & dari Jeti Merang pula dalam 45 minit.


5. Tasik Kenyir

Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia ini menawarkan beberapa produk pelancongan yang menarik untuk pelancong. Hasil terbinanya Tasik Kenyir ini adalah disebabkan pembinaan Empangan Kenyir yang secara tidak langsung mewujudkan tasik serta taburan ratusan pulau-pulau kecil. Antara aktiviti menarik di sekitar Tasik Kenyir yang boleh pelancong lakukan adalah memerhati burung liar, melawat santuari gajah, junggle trekking, menerokai gua-gua, memancing, melawat santuari ikan kelah, mandi manda di Air Terjun Lasir dan bersuka ria di Kenyir Water Park. Di kalangan kaki pancing, Tasik Kenyir adalah syurga & anda boleh menyewa rumah bot untuk ke lokasi lubuk ikan & bermalam dalam rumah bot.

6. ‘Kenyir Elephant Village’

Merupakan sebuah pusat konservasi gajah yang baru dibuka pada tahun 2012. Di sini pengunjung boleh melihat telatah gajah-gajah terlatih & jinak beraksi dengan pelatihnya yang pasti mencuit hati anak-anak. Anda juga boleh merasai pengalaman menaiki gajah sambil ditemani pelatih mengelilingi kawasan yang ditetapkan. Berbeza dengan zoo lain, di sini pengunjung berpeluang untuk berinteraksi dengan gajah dengan cara yang lebih dekat berbanding di zoo biasa. Disediakan juga di sini jambatan gantung & menara tinjau untuk melihat aktiviti gajah di habitat asalnya.

7. Santuari Kelah Sungai Petang

Kebiasaannya ikan kelah memang susah untuk didekati tetapi di sini ikan kelah seperti menanti kehadiran pengunjung seolah-olah tidak sabar nak beramah mesra & mencium kaki tangan anda. Santuari Kelah Sungai Petang terletak di Santuari Kelah Lubuk Kejor, Sungai Petang, Kenyir dan anda boleh ke sini dengan menaiki bot dari Pengkalan Gawi berjarak 16 km ( 30-40 minit perjalanan bot). Selepas itu perlu berjalan kaki merentasi hutan sekitar 40 minit untuk sampai ke santuari kelah ini. Di sini terdapat kemudahan seperti galeri, pusat pembenihan ikan, akuarium & pusat penyelidikan ikan kelah. Memang seronok bermanja mesra dengan raja ikan air tawar ini yang mana harga satu kilogram ikan ini boleh mencecah sehingga RM 1000 !

8. Pulau Perhentian

Satu lagi destinasi pulau yang popular di Terengganu selepas Redang. Pulau Perhentian sebenarnya terdiri daripada 2 pulau utama iaitu Pulau Perhentian Besar & Pulau Perhentian Kecil. Kalau anda sukakan aktiviti menyelam untuk melihat hidupan marin dan terumbu karang, Pulau Perhentian sangat dicadangkan untuk anda bercuti. Kemudahan penginapan seperti resort & chalet juga banyak di sini dan untuk pengetahuan Pulau Perhentian pernah disenaraikan sebagai salah satu destinasi pantai yang tercantik di Dunia oleh CNN.

9. Air Terjun Chemerong

Tempat mandi manda di Terengganu yang sangat popular yang terletak di dalam Hutan Lipur Chemerong yang juga merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Pasir Raja. Lokasinya yang agak pedalaman dari jalan utama pasti menjanjikan keaslian alam flora yang masih kekal terjaga. Air Terjun Chemerong merupakan antara air terjun yang tertinggi di Malaysia dan di sini jugalah tempat pendaki memulakan pendakian menuju ke Gunung Berembun sambil mandi manda di Sungai Bangang yang sangat jernih membiru seperti di laut.

10 Kelip-kelip Sungai Yah Yah

Hanya terletak berdekatan dengan Zoo Kemaman, pengunjung boleh merasai pengalaman melihat kelip-kelip di Sungai Yah Yah yang beroperasi antara 8.00 malam sehingga 10.00 malam. Kelip-kelip di sini memang banyak mengerumuni pokok-pokok di sepanjang sungai dan kebiasaannya membiak antara bulan Julai – Oktober. –
\\

More articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest article